Saturday, March 9, 2013

Yatt Hamzah Jadi Penyanyi Nasyid?


Yatt Hamzah


KUALA LUMPUR – Selepas pelakon, Yatt Hamzah mula memakai hijab dan berhijrah, dia mengakui agak memilih watak untuk berlakon.
Oleh kerana agak memilih seiring dengan penampilan terbarunya, Yatt memberitahu kini dia sedang giat menyanyi nyasid untuk kumpulan Marhaban yang ditubuhkannya, baru-baru ini.
“Saya memang memilih watak. Tidak semua watak bertudung boleh saya ambil. Ada juga tidak sesuai dengan penghijrahan saya ini. Memang benar, selain berlakon, mengacara dan sering dijemput untuk mengadakan ceramah, Yatt juga sibuk menyanyi untuk nasyid marhaban.
“Pada kebiasaanya, Marhaban selalunya disertai generasi yang lebih senior. Jadi, apa salah Yatt ambil inisiatif ini dengan mengumpulkan artis muda yang telah berhijrah untuk turut sama,” kata Yatt yang dipetik dari Murai.com, hari ini.
Selain daripada Yatt, kumpulan ini turut disertai Noryn Aziz, Akma, Diana Amir, Siti Nurdiana dan Lufya.
“Persembahan pertama kami bersempena sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya. Dari situ kami mulakan sehingga kami dijemput mengadakan persembahan dalam program Primadona di Astro Prima.
“Insya-Allah, kalau semuanya okay, kami akan buat album untuk Marhaban ini. Namun, ia bukan sekarang. Lagi pun, saya masih lagi sibuk dengan berlakon,” katanya.

Lagi Pengganas Sulu Ditembak Mati, Jumlah Meningkat Kepada 53 Orang – KPN


LAHAD DATU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang lelaki bersenjata Sulu pada Sabtu yang cuba untuk meloloskan diri daripada kawalan keselamatan ketat di Kampung Tanjung Batu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, lelaki bersenjata itu mati ditembak kira-kira pukul 8.00 pagi.
Ini membawa kepada jumlah lelaki bersenjata Sulu yang terbunuh kepada 53, di dua perkampungan pantai di mana mereka berkurung dan dalam tembakan di Semporna.
Ismail berkata kawasan operasi di Kampung Tanjung Batu adalah 3 km persegi dan Kampung Tanduo 4 km persegi.
Beliau berkata baki kumpulan bersenjata dipercayai akan bergerak berpasangan atau dalam unit-unit kecil.
“Kami percaya mereka cuba mengelak daripada pasukan keselamatan dengan bergerak di antara kedua-dua kampung,” katanya.
Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata lelaki bersenjata berjaya menyelinap dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu kerana kawasannya yang tidak sekata dan berpaya.
Zulkifeli berkata pasukan keselamatan telah menjalankan operasi pembersihan di Kampung Tanduo. – Mstar.com.my
Ditanya sama ada masih terdapat lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, beliau berkata operasi masih diteruskan untuk membawa mereka keluar dan mereka mungkin bersembunyi di dalam belukar dan hutan sekunder di sana.
Ismail berkata nasib Raja Muda Azzimudie Kiram, pemimpin kumpulan bersenjata, masih tidak diketahui.
“Masih terdapat mayat di kawasan itu yang kita tidak pasti,” katanya.

Friday, March 8, 2013

‘Tali Barut’ Terlibat Dalam Pembunuhan Pegawai Dan Anggota Polis Di Semporna?




Masih ingatkah kejadian Jaya Simunul, Kampung Seri Semporna?
Mungkin kita boleh imbas kembali apa yang berlaku.
Seorang pegawai dan lima anggota polis telah terkorban selepas mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu ketika itu.
Kejadian di perkampungan atas air tersebut turut menyebabkan enam orang dipercayai anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.
Kejadian tercetus kira-kira pukul 6.30 petang ketika 25 orang polis mengadakan pemeriksaan di kampung berkenaan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata.
Sepasukan 25 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kemudian telah melakukan pemeriksaan ke kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah.
Bagaimanapun, sebaik tiba di kampung tersebut, kumpulan bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan penceroboh Sulu terbabit menyerang hendap pasukan berkenaan dengan melepaskan tembakan.
Pasukan kita telah diserang dan ditembak oleh kumpulan terbabit sehingga mengorbankan seorang pegawai dan lima anggota.
Anggota polis itu ditembak ketika mereka sedang menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Pihak polis kemudian telah mengerahkan pasukan bantuan ke kampung tersebut untuk membantu baki 19 orang anggota yang terperangkap di situ.
Operasi pasukan bantuan tersebut selama hampir 24 jam yang berakhir pada pukul 6.30 petang berjaya menyelamatkan 19 anggota terbabit dan mengeluarkan mayat semua anggota polis serta enam anggota kumpulan pengganas.
Pengganas yang bersenjatakan raifel automatik M16 menghamburkan peluru sehingga mereka gugur sebagai bunga bangsa, darah pekat mengalir dari celah-celah jeti kampung tersebut.
Difahamkan ketika ini, musuh menerpa dan mengerat-gerat serta memotong kepala ketua pasukan polis ini, ada jenazah polis yang dicacatkan, mata si mati dikorek, ada yang dipotong kepala di ditetak berkali-kali dengan parang, ada yang masih hidup dipotong kedua-dua tangannya.
Ya kejam, cukup kejam!
Menurut sumber yang kami terima, kejadian sadis itu tidak dapat tidak, tak banyak sedikit, adalah ‘hasil’ daripada perbuatan tali barut mereka yang menyokong dan bersimpati dengan penceroboh-penceroboh berkenaan.
Apa itu tali barut?
Secara mudahnya, tali barut membawa maksud orang suruhan yang menyampaikan maklumat sulit kepada pihak musuh.
Kejadian di Jaya Simunul itu contohnya, pegawai dan anggota polis yang masuk ke kawasan berkenaan bukannya calang-calang, malah ada yang berpangkat Supritendan dan telah berkhidmat lebih pada 20 tahun dalam PDRM.
Majoriti mereka pula dari Cawangan Khas (SB), cawangan yang cukup terkenal dengan pergerakannya yang penuh taktikal dan kaya dengan muslihat.
Masakan mereka tidak mengkaji atau mengambil mudah sewaktu menyelinap masuk ke kampung berkenaan.
Namun sayang, ternyata ada yang sanggup menjadi tali barut hingga menyebabkan pergerakan polis berjaya dihidu.
Tali barut yang dimaksudkan itu boleh jadi orang dalam, boleh jadi penduduk kampung atau sesiapa sahaja!
Bukan hendak menunding atau menuduh sesiapa tetapi mahu tidak mahu, kita kena menerima hakikat wujudnya pembelot atau tali barut dalam insiden di Semporna ini khususnya, dan di negeri Sabah amnya.
Mereka inilah yang paling bahaya sebenarnya, mereka mungkin bukan di kalangan penceroboh yang bersenjata, tetapi dengan sebuah telefon bimbit sebagai contoh, sudah cukup untuk tali barut ini menyalurkan maklumat mengenai pergerakan lawan.
Setakat ini kita bersyukur kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah menafikan kewujudan pembelot di kalangan pegawai dan anggota keselamatan.
Jadi tumpuan perlu diarahkan untuk mengesan dan menangkap mereka yang menjadi pembelot atau tali barut di kalangan kita atau pendatang asing di sana.
Semoga kita mengambil iktibar daripada tragedi ini…sejarah Melaka sendiri telah membuktikan, kegemilangannya musnah disebabkan tali barut dan mereka yang bertindak bagai gunting dalam lipatan.
Tak mustahil ia berlaku lagi dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ini.
Jangan lupa hakikat itu!

Thursday, March 7, 2013

Presiden Aquino: Tindakan Sultan Sulu salah

Sabah diceroboh


GENERAL SANTOS CITY - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mempertahankan pendirian pentadbirannya sambil menegaskan tindakan Sultan Sulu dan pengikutnya yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, sejak awal bulan lalu, adalah salah.

"Apa yang berlaku di Sabah adalah salah. Jadi, mengapa kita perlu menyokongnya?" kata beliau di sini semalam.

Dipetik Inquirer, Aquino berkata: "Insiden ini salah. Jika yang ini salah, maka adakah kita perlu sokong?"

Beliau melahirkan pandangan ini di sebalik kritikan bahawa pentadbirannya tidak menangani isu pencerobohan ke atas Sabah dengan baik.

Insiden ini kini bertukar menjadi pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Sulu.

Pasukan keselamatan menyerang tempat mereka berlindung sejak awal pagi kelmarin.

Aquino menegaskan tuntutan ke atas Sabah sekiranya wajar perlu diselesaikan menerusi pendekatan aman.

Katanya, masalah berkenaan dengan status Sabah muncul apabila ia dipajakkan kepada British North Borneo Company pada 1878.

"Apa punca masalah ini? Bukankah nenek moyang mereka yang memulakan apabila mereka memajakkan Sabah kepada British?

"Jika mereka ada masalah dengan perjanjian, dan jika kita berminat, maka kita perlu berbincang dengan cara yang baik," katanya.

Kata beliau: "Jika perjanjian yang ditandatangani itu salah, maka kita perlu betulkan."

Aquino juga menyelar kerana kini seluruh Filipina diheret bersama dalam masalah terbaru ini sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu melibatkan pihak tertentu.

"Dalam perjuangan mereka, seluruh negara diheret ke dalam isu ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Aquino, selaku ketua negara beliau perlu melindungi kepentingan majoriti rakyat Filipina. - Sinar harian